SEMASA berkunjung ke China dan Vietnam hati terdetik melihat rakyat di situ yang rata-rata mempunyai berat badan ideal. Mereka tidak terlalu gemuk dan tidak terlalu kurus.
Apabila berjumpa dengan beberapa doktor di kedua-dua negara, mereka mengesahkan kadar obesiti di sana sangat rendah.

DI zaman batu manusia kuat, tegap dan sihat dengan amalan makanan yang kurang dimasak.
Saya terpanggil untuk meneliti dengan lebih terperinci corak pemakanan yang diamalkan sehingga membolehkan sistem hormon metabolik di dalam dalam tubuh mereka berfungsi dengan begitu baik sekali.
Saya dan Dr. Muzvin yang mengendalikan klinik Isahak di kompleks PKNS Shah Alam terpanggil ke Vietnam sekali lagi dua minggu lalu. Kami membuat suatu eksperimen dengan mengambil makanan Vietnam selama beberapa hari. Kami ingin merasai sendiri budaya makan di sana agar dapat mengubah corak pemakanan ke arah yang lebih baik serta menghebahkan kepada keluarga dan para pembaca yang saya sayangi.
Sarapan pagi masyarakat Vietnam adalah semangkuk ulam (lebih kurang segenggam) dan sup bihun. Cuma sedikit bihun dimasukkan dan ditambah cendawan serta sayur-sayur yang direbus sekejap. Sup sayuran itu dibuat tanpa menggunakan minyak. Masyarakat Vietnam yang beragama Islam memelihara sendiri ayam dan ternakan lain dan memastikan haiwan itu turut memakan sayur-sayuran serta rumput yang segar.
Selain sup, popia berintikan sayur-sayuran turut dihidangkan semasa sarapan. Sayur-sayuran itu dimakan mentah. Hidangan tengah hari juga merupakan sesuatu yang unik bagi kami. Menu di semua restorannya menawarkan sayur-sayuran jauh lebih banyak berbanding ikan, ayam dan daging. Kami menjeling beberapa wanita Vietnam yang sedang menikmati makanan tengah hari. Mereka makan tiga jenis sayuran dan satu jenis lauk sahaja iaitu ikan goreng. Nasi pula hanya setengah genggam.
Di Vietnam kami tidak berjumpa keropok atau makanan segera yang berperisa. Di mana-mana rakyat mereka mengunyah buah-buahan segar atau jeruk buah-buahan. Mereka turut memakan umbut dan kacang namun kami tidak berjumpa kentang dan juga ubi keledek.
Kesimpulannya, mereka tidak mengamalkan karbohidrat yang banyak. Mereka juga tahu bahawa makanan yang perlu dimasak sampai empuk mempunyai sejenis toksin yang merosakkan tubuh badan.